17 September, 2008

NuZuL aL - QuRaN





Nuzul Al-Quran

Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.
Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun yang sering kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga
seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.


‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan.
Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)



NAMA-NAMA AL-QURAN

Allah memberi nama kitab-Nya iaitu Al Quran yang bererti "bacaan". Erti ini dapat kita lihat dalam surah (75) Al Qiyaamah, ayat 17 dan 18.
Nama ini dikuatkan oleh ayat - ayat yang terdapat dalam surah (17) Al -Israa' ayat (88), surah (2) Al-Baqarah ayat (85), surah (15) Al-Hijr ayat (87), surah (20) Thaaha ayat (2), surah (27) An Naml ayat (6), surah (46) Ahqaaf ayat (29), surah (56) Al-Waaqi'ah ayat (77), surah (59) Al-Hasyr ayat (21) dan surah (76) Addahr ayat (23).

Menurut pengertian ayat-ayat di atas, Al-Quran itu dipakai sebagai nama bagi Kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Selain Al Quran, Allah juga memberi beberapa nama lain bagi kitab-Nya, seperti:
  • Al Kitaab atau Kitaabullah merupakan sinonim dari perkataan Al Quran, sebagaimana tersebut dalam surah (2) Al Baqarah ayat (2) yang ertinya berbunyi: "Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya….". Lihat pula surah (6)Al An'aam ayat (114).

  • Al Furqaan ertinya "Pembeza" iaitu yang membezakan di antara yang benar dengan yang batil, sebagaimana terdapat dalam surah (25) Al Furqaan ayat (1) yang ertinya: "Maha Agung (Allah) yang telah menurunkan Al Furqaan kepada hamba-Nya, agar ia menjadi peringatan kepada seluruh alam".

  • Adz-Dzikir ertinya "Peringatan", sebagaimana yang tersebut dalam surah (15) Al Hijr ayat (9) yang ertinya "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan"Adz-Dzikir" dan sesungguhnya Kamilah penjaganya". Lihat pula surah (16) An Nahl ayat (44).

  • Selain dari nama - nama di atas, terdapat beberapa lagi nama bagi Al Quran. Imam As Suyuthy dalam kitabnya Al Itqan menyebutkan nama - nama Al Quran, di antaranya adalah Al Mubin, Al Kariim, Al Kalam dan An Nuur.